Tuesday 27 October 2015

GRADUAN - Kenapa masih menganggur ?

      Zaman berubah amat pantas. Sepantas maklumat yang kita terima dalam masa beberapa saat sahaja di hujung jari. Di Era Informasi ini, setiap individu juga harus pantas. Pantas merebut peluang-peluang yang ada di hadapan. Pantas berfikir. Pantas bertindak. Khas untuk para graduan yang telah lama menanam ‘Pokok Anggur’ di rumah, juga kepada yang baru sahaja habis belajar. Satu realiti yang harus diterima adalah 53,000 graduan tidak mendapat tempat pekerjaan selepas 6 bulan habis belajar (Bajet, 2015). Tidak seperti era 70-an, 80-an dulu, sesiapa graduan yang baru tamat belajar. Pekerjaan sedia menanti. Tapi sekarang tidak berlaku seperti dulu. Graduan itu sendiri ke hulu ke hilir membawa resume beserta sijil-sijil kecemerlangan di Universiti. Hadir ke temuduga entah berapa kali, namun masih tidak berjaya. Hanya segelintir sahaja yang bernasib naik, ‘fresh graduate’ yang bernasib baik terus mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian. Seramai 216,048 (56%) graduan universiti menganggur daripada 385,800 penganggur di Malaysia. Apakah punca & masalahnya?
     Berpelajaran tetapi tiada jawatan kosong dan pekerjaan. Itulah ungkapan yang sesuai dengan nasib para graduan yang keluar berpuluh ribu saban tahun. Yang mana pencapaian agak sederhana, keluar sahaja tempoh pengajian selama lebih 3 tahun dan ke atas contohnya, keluar-keluar sahaja sudah memikul hutang sekurang RM15,000 dan ke atas berdasarkan kos di tempat pengajian masing-masing yang mereka pernah turunkan tandatangan akur janji sebelum ini. Malangnya, “mimpi indah” yang diharapkan di kalangan anak muda dan graduan universiti bagi mengisi jawatan kosong secepat mungkin, sebenarnya tidak semudah yang mereka sangkakan.
     Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh sebuah syarikat Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd melalui pengurusnya Sam Haggang mendapati 3 daripada 5 graduan universiti akan mengambil masa lebih daripada 6 bulan bagi mengisi jawatan kosong yang ada di Malaysia. Manakala 40% yang lain, mengambil masa lebih lama untuk mengisi jawatan kosong yang ada. Walaubagaimanapun, hasil kajian yang dihasilkan oleh Jobstreet menunjukkan di sini terdapat beberapa faktor menyebabkan ramai graduan universiti di luar yang masih menganggur. Antara puncanya ialah masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%, masalah sikap dalam diri yang teruk : 37%, mengharapkan gaji yang tidak realistik : 33%, kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran : 30%, terlalu memilih kerja dan syarikat : 28%, tiada kemahiran menyelesaikan masalah : 26%, tahap pengetahuan yang lemah : 24%

     Kebanyakkan majikan mahukan pekerja yang ada intergriti dan jujur, mampu memberikan hasil kerja dan kualiti perkhidmatan yang terbaik, berkebolehan berkomunikasi dengan efektif, dapat memastikan kepuasan pelanggan syarikat ditahap yang terbaik, memiliki motivasi yang tinggi, mampu melakukan kerja dan tugasan yang diberikan tanpa terlalu bergantung harap dengan orang lain. Melihatkan kepada faktor masalah graduan universiti menganggur yang semakin bertambah saban tahun ditambah dengan kehendak majikan hari ini, terdapat “masalah yang terus bernanah” yang masih belum mampu dirawati sehingga ke hari ini kepada kalangan anak muda. Malah Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini telah mengariskan beberapa masalah yang perlu diselesaikan segera bagi meningkat tahap mutu pendidikan di Malaysia antaranya 93% daripada pemohon Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) berada di bawah tahap pencapaian minimum dalam akademik pada tahun 2010, 67% daripada guru-guru yang menduduki ujian “Cambridge Palcement Test” gagal mencapai tahap penguasaa yang diperlukan untuk mengajar Bahasa Inggeris pada tahun 2012, 50% daripada pengajaran hanya memfokuskan kepada pemahaman kandungan yang agak minimum berbanding mengalakkan anak murid berfikir secara kritis

     Jumlah keseluruhan bilangan Institusi Awam dan Swasta adalah 238 buah dengan 9,028 program samaada Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan PHD. Jumlah ini belum didarab dengan jumlah GRADUAN yang bergraduasi pada setiap tahun bagi setiap institusi. Serta belum ditambah dengan bilangan graduan yang masih belum mendapat pekerjaan pada tahun-tahun sebelumnya. Apa yang penting adalah semua graduan dapat mengembangkan potensi diri dan membuat perubahan dramatik dalam hidup. Menteri Pendidikan 11, Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan bahawa graduan disaran CIPTA PELUANG pekerjaan sendiri berdasarkan ilmu yang diperolehi (Berita Harian, 2 April 2015). Idris berkata demikian apabila disoal mengenai bilangan graduan yang melebihi peluang pekerjaan sehingga menyukarkan mereka mencari pekerjaan. Malahan, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia- Pendidikan Tinggi yang mempunyai 10 lonjakan baru, turut menekankan aspek keusahawanan, selain mahu melahirkan graduan yang holistik dan berimbang. Siswazah yang telah enam bulan menamatkan pengajian adalah antara 400,000 penganggur yang menjadi fokus kerajaan dan syarikat swasta untuk diberi sokongan dan bantuan mendapatkan pekerjaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kumpulan siswazah tersebut juga termasuk dalam kalangan 161,000 orang atau 8.8 peratus belia berusia antara 20 dan 24 tahun yang masih belum mendapat pekerjaan. Kerajaan melalui Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sedang menyusun strategi mening­katkan program bagi membantu kumpulan belia termasuk siswazah terbabit untuk keluar bekerja.

     Kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bahawa pengajian tinggi Malaysia bertaraf dunia bersifat ‘syok sendiri’ kerana hakikatnya kadar pengangguran graduan IPT Malaysia sangat tinggi kerana kurang kemahiran. Sebenarnya, peluang pekerjaan yang ditawarkan masih banyak tetapi mereka tidak tahu mengambil peluang ini. Di samping itu, terdapat  beberapa agensi usahawan yang menawarkan peluang keusahawan bagi mereka yang berminat memilih keusahawan sebagai kerjaya pilihan. Selain itu, mereka  juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara. Contohnya mereka menceburi bidang pertanian dan mengusahakan kawasan terbiar sehingga memperolehi hasil dan menjadikan petani yang berjaya. Oleh demikian, bukan kerja kosong  tidak ada tetapi sikap yang terlalu memilih kerja di kalangan graduan menyebabkan pekerjaan itu tidak dapat diisi.
     Pengangguran di kalangan siswazah akan terus berlaku sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif baru membina kerjaya persendirian atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakan ekonomi di samping dapat berperanan memberi peluang pekerjaan kepada golongan lain. Ruang bagi golongan mahasiswa menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan begitu luas.  Pihak swasta selalunya lebih mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik, ini kerana kos untuk mengadakan latihan etensif kepada pekerja baru akan membelanjakan wang banyak dan memberi sedikit kerugian kepada sesebuah syarikat pada masa itu. Selain itu juga, siswazah harus bijak dan aktif dalam berkomunikasi serta cemerlang dalam pelajaran dan korikulum.

     Pengangguran siswazah boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada diri pelajar itu sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Contohnya apabila seseorang itu tidak mempunyai pekerjaan atau tidak mempunyai wang untuk keperluan harian, kemungkinan dia akan memilih jalan yang mudah untuk mendapatkan hasil yang lumayan dengan melakukan perkerjaan yang menyalahi undang-undang, contohnya merompak. Pekerjaan seperti ini akan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta kepada orang lain. Semua ini terjadi kerana seseorang  itu berfikiran sempit, terdesak atau tertekan dengan tiadanya pekerjaan.

     Selain itu , kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan program sekolah atau universiti kerjaya dengan jelas. Mereka perlu mengadakan kursus khas atau perancangan tegas kepada graduan daripada menyediakan pekerja untuk sektor awam atau swasta kepada sektor keusahawanan, pertanian, perlombongan dan lain-lain lagi. Di samping itu, golongan yang masih belajar di sekolah atau IPT perlu memilih bidang pengajian yang boleh disesuaikan dengan penawaran kerja di pasaran. Kerja yang ditawarkan di pasaran melebihi jumlah golongan penganggur, tetapi pemikiran mereka harus diubah. Pemikiran “lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai” harus dibuang jauh-jauh dari minda setiap graduan kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah ia merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja. 

     Graduan perlu memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris untuk memberi diri kelebihan mendapat pekerjaan. Oleh itu, kerajaan haruslah menaikan taraf pendidikan dan juga terus mempromosikan kepentingan Bahasa Inggeris di kalangan siswazah agar masalah ini tidak akan menghantui fikiran semua rakyat Malaysia di masa akan datang. Selain itu, graduan juga perlu bijak berkomunikasi dan mempunyai keyakinan diri semasa berhadapan dengan orang lain, jangan takut dan teragak-agak menjawab apabila berinteraksi dengan orang berpangkat atasan. Pasaran pekerjaan adalah tertakluk kepada permintaan dan penawaran. Ianya akan dipenuhi samada oleh mereka yang telahpun berpengalaman ataupun yang baru keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi. Sepanjang tahun,  maka ramailah graduan-graduan yang berpusu-pusu menerjah ke jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta bagi  mempromosikan diri dari pelbagai pengkhususan samada ianya dari dalam mahupun luar negara. Lambakan para graduan ini tidak dapat ditampung oleh sektor pekerjaan. Malahan dalam setahun dua ini keadaan mungkin bertambah lebih rumit kerana dasar pelanjutan umur persaraan sehingga 60 tahun mula dilaksanakan. Jika yang sepatutnya telah bersara tetapi masih lagi menduduki jawatannya, manakan ada jawatan kosong untuk diisi oleh orang lain. Di setengah-setengah perjawatan dalam perkhidmatan awam memang telah melaksanakan pengambilan terhad.  

     Dalam  kajian-kajian yang dibuat oleh universiti-universiti mengenai kebolehpasaran siswazah masing-masing saban tahun, malah kajian yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi turut menunjukkan tidak selarinya antara penawaran dan permintaan. Hasil kajian berkenaan menunjukkan sebahagian besar graduan masing-masing berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selain ramai graduan memperoleh pekerjaan selepas saja menamatkan pengajian mereka. Namun ramai juga yang masih menganggur walaupun telah setahun menapak keluar dari menara gading. Persoalan juga ditimbulkan apabila mereka menghadapi kesukaran memohon kerja lantaran pihak universiti begitu lambat untuk mengeluarkan skrip keputusan peperiksaan dan penganugerahan ijazah. Dalam pengalaman saya semasa menuntut di luar negara, kesemuanya akan selesai tidak lama selepas peperiksaan terakhir. Tidak ada istilah harus menunggu hampir setahun kemudian untuk konvokesyen maka barulah memperolehi skrol ijazah. Maka para siswazah walaupun telah dikatakan tamat pengajian tetapi tidak dapat menunjukkan bukti apabila memohon pekerjaan, maka ramai yang terpaksa menggunakan sijil STPM ataupun SPM untuk mencari kerja sementara. 



     Peluang pekerjaan pada peringkat ini juga kadang-kadang direbut oleh warga asing khususnya dalam perkhidmatan hospitaliti, pelancongan, penyediaan dan penjualan makanan. Akhirnya mereka yang menganggur bukan saja dipandang negatif oleh masyarakat, malah memberi kesan emosi kepada individu berkenaan apatah yang memiliki ijazah atau diploma. Mereka yang mengalami situasi ini pastinya berasa tertekan.Sebenarnya pemilihan kursus dan keperluan gunatenaga negara haruslah diberi penekanan sebelum seseorang pelajar itu mengikuti sesuatu jurusan. 
     Pada 1 Jun 2011 Perdana Menteri telah melancarkan program  Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Program ni bertujuan untuk membantu graduan yang menganggur untuk mendapatkan kerja. Untuk fasa pertama 3,000 graduan akan mengikuti program itu manakala 5,000 graduan bakal mengikuti program untuk fasa kedua.  Dalam program SL1M ni Bank Negara juga terlibat dalam fasa pertama. Perlaksanaan Skim Latihan 1Malaysia ialah pertama, institusi pelaksana adalah terdiri daripada GLC yang akan melaksanakannya sebagai CSR, kedua,struktur program latihan akan mengandungi elemen soft-skills dan minimum 6 bulan on-the-job training, ketiga, peserta yang tamat kursus akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan, keempat, kriteria pemilihan peserta ialah terbuka kepada semua graduan Ijazah Sarjana Muda dari dalam dan luar negara yang mencapai skor CGPA sekurang- kurangnya 2.5 atau Pengambilan akan dibuat secara berperingkat mulai bulan Julai 2011. Kumpulan sasaran adalah graduan Ijazah Sarjana Muda yang tidak mendapat pekerjaan selepas 6 bulan bergraduat dan lulusan universiti yang bekerja tetapi pekerjaannya tidak setaraf dengan kelulusan (underemployed). Laman web SL1M – Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, telah mengadakan paparan khas mengenai SL1M dalam laman webnya dan dihubungkan dengan semua laman web GLC yang mengambil bahagian. Borang permohonan boleh didapati dengan melayari laman web GLC berkenaan.
     Masih ramai graduan yang menganggur walaupun mereka sudah beberapa tahun menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Kebanyakan mereka bukan tidak mendapat pekerjaan atau tidak menerima sebarang tawaran tetapi mungkin tugas yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan mereka. Kebanyakan graduan ini masih mencari pekerjaan yang dirasakan tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai bekas penuntut universiti. Mereka lebih sanggup menganggur daripada bekerja sebagai kerani atau jawatan lain yang dirasakan kurang setaraf walaupun sebenarnya lebih baik bekerja daripada menganggur.  Pemikiran "lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai" perlu dibuang dari minda setiap graduan kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja.  Kesimpulanya, graduan harus bijak mengatur langkah kehidupan masing-masing, jangan terlalu memikirkan profesional. Graduan perlu bermula dari bawah untuk dapatkan pengalaman, bukanya terus dari atas. Justeru , graduan tidak seharusnya terlalu bersikap memilih , kerana ini bukan saja untuk kebaikan negara,malah ia juga untuk kebaikan diri graduan itu sendiri dan sikap seperti ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan ke atas diri mereka sendiri. Bayangkan berapa banyak pengalaman bekerja dan pendapatan yang mereka rugi jika hanya duduk di rumah disebabkan sikap memilih kerja. Selain itu, mereka harus mempunyai kemahiran dan pengalaman bekerja.. Oleh itu, mereka haruslah berfikiran terbuka dan bijak dalam menagani masalah ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Bak kata pepatah “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- senang kemudian,”  dan satu lagi pepatah yang mengatakan, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan  dan nak seribu daya tak nak seribu dalih.”

1 comment:

  1. menganggur...pergh sila ke blog saya www.rayflexs.blogspot.com

    ReplyDelete