Saturday 3 October 2015

BAHAYA BERTERBANGAN

BAHAYA BERTERBANGAN
Jabatan Meteorologi meramalkan keadaan jerebu yang menyebabkan pencemaran udara dalam negara akan bertambah baik berikutan peralihan tiupan angin monsun dari Malaysia ke Indonesia pada 20 September ini. Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata tiupan angin monsun itu pada ketika ini bertiup dari Indonesia ke negara ini. Beliau berkata tiupan angin ke negara ini ia menyebabkan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara sejak 2 minggu lalu. “Sekarang ini kita dapat lihat corak tiupan angin yang konsisten dari Indonesia ke negara kita. Kita jangkakan perubahan berlaku pada 20 hari bulan ini. “Hari ini pun kita dapat melihat keadaan IPU negeri-negeri di Semenanjung sudah bertambah baik, dan dijangka akan berkekalan untuk beberapa hari yang akan datang,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini. Mohd Hisham berkata pihaknya tidak bercadang untuk melaksanakan pembenihan awan bagi tujuan penghasilan hujan kerana proses pembenihan hanya akan dilakukan jika bacaan IPU mencecah tahap tidak sihat selama 3 hari berturut-turut. Berikut adalah ulasan mengenai jerebu oleh Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam keratan akhbar Metro bertarikh 21 September 2015.
Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar. Jerebu  boleh menyebabkan masalah kesihatan di kalangan orang ramai. Sebagai langkah pencegahan semasa jerebu, orang ramai dinasihatkan supaya meminimakan aktiviti luaran. Walau bagaimananpun, pekerja di sektor perkhidmatan terutamanya anggota seperti hospital, klinik kesihatan, Polis, Bomba, Jabatan Perkhidmatan Awam, dan lain-lain adalah terdedah kepada persekitaran yang kurang sihat semasa jerebu. Sektor pekerja tersebut juga terpaksa meneruskan kerja walaupun situasi  persekitaran semakin merosot. Punca utama jerebu adalah akibat daripada pembakaran secara terbuka, asap dari kilang, asap dari kenderaan. Sebagai manusia yang prihatin, kita perlu menghindari diri dari perbuatan yang boleh menyebabkan jerebu agar kebersihan udara kita dapat dijaga bersama.

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, orang tua, mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik ,jantung dan alahan. Selain itu, perokok dan mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah turut berisiko tinggi mendapat kesan dari jerebu.
Antara tanda dan gejala kesan jerebu kepada kesihatan ialah kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk dan terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas. Mata terasa pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin serta kulit badan terasa gatal-gatal. Terasa sakit dada turut menjadi tanda akibat jerebu. Kita perlu mendapatkan rawatan dan doktor di klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.
Pencegahan penyakit akibat jerebu dapat dilakukan jika mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk. Mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. Selain itu,  penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi. Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah dan mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti sukan. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih. Gunakan kemudahan hawa dingin sekiranya menaiki  kenderaan anda. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya ,mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar  dari  kawasan tersebut.
Selain daripada warga emas dan kanak-kanak, para penghidap penyakit kronik juga adalah golongan berisiko untuk mengalami kesan buruk akibat terdedah kepada udara yang berjerebu. Jerebu mengandungi partikel yang sangat kecil yang boleh membawa bahan toksik yang dapat masuk ke dalam peparu dan diserap ke dalam darah. Penghidap penyakit kronik terutamanya penghidap asma (lelah), penghidap obstruksi persafasan kronik, penghidap penyakit jantung, diabetes (kencing manis) dan darah tinggi perlu mengelakkan diri daripada keluar dari rumah sehinggalah tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kurang daripada 100.

Kajian menunjukkan terdapat peningkatan serangan asma, peningkatan jangkitan pernafasan, pengurangan fungsi peparu, peningkatan kejadian susah nafas, batuk-batuk dan iritasi mata semasa keadaan berjerebu. Ada juga bukti yang mengaitkan peningkatan serangan jantung akibat terdedah dengan udara berjerebu.Oleh itu adalah penting bagi penghidap penyakit-penyakit kronik yang berkenaan untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan jerebu bagi mengelakkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.

Pemakanan yang  sihat  adalah penting  semasa musim berjerebu  untuk mempertahankan  sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai  penyakit yang ada kaitan dengan jerebu . Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah. Air juga penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak .Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan . Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas  akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini  adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat. Cara untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat ialah tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga  8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi . Minum Jus serta makan  buah – buahan  dan sayur- sayuran  yang  kaya dengan  antioksida, vitamin, mineral dan serat bagi membantu melawan penyakit. Elakkan pengambilan  minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol  yang  boleh menyebabkan pembuangan  air kencing yang  kerap dan boleh menyebabkan  dehidrasi. Pengambilan air suam adalah digalakkan  berbanding  minuman sejuk /berais  kerana  tubuh badan  akan kehilangan   haba  dengan  cepat yang perlu diganti semula. Kurangkan pengambilan makanan yang  menyebabkan  kehausan dan  dehidrasi seperti makanan masin  atau bergaram. Makan pelbagai makanan mengikut keperluan  untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan. Pastikan  semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih, dimasak  dan disimpan dalam keadaan yang sesuai  sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan. Kekal  aktif  di tempat  yang  sesuai tetapi  elakkan atau kurangkan  aktiviti di luar  rumah. Elakkan merokok  kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara. Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga. 

Kita perlu kekal aktif untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan dan bagi mengelakkan pelbagai penyakit. Kita disarankan berjalan 10 ribu langkah sehari atau melakukan aktiviti fizikal sederhana seperti berjalan laju, berkebun atau berbasikal selama 150 minit seminggu. Pada lazimnya, aktiviti fizikal adalah dilakukan di luar rumah. Keadaan berjerebu sekarang menyebabkan kita menyekat aktiviti luar rumah kerana semua kegiatan luar perlu dielakkan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 bagi mengelakkan masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan menyedut dan terdedah kepada udara berjerebu yang tercemar. Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan aktiviti fizikal kita. Ia tidak semestinya begitu.

Cara untuk meningkatkan aktiviti fizikal kita walaupun keadaan berjerebu ialah kegiatan fizikal dan sukan di dalam bangunan boleh diteruskan seperti menghadiri gimnasium, sukan futsal, skuash dan badminton. Gunakan tangga berbanding lif di tempat kerja atau di dalam mana-mana bangunan. Mop lantai dan kemas rumah anda, menari di dalam rumah serta berjalan sambil membeli belah. Jangan lupa minum air yang mencukupi iaitu 2 liter sehari dan tidak merokok ketika keadaan berjerebu. Pemasangan penghawa dingin dan alat penapis udara adalah digalakkan. Aktiviti fizikal diluar boleh diteruskan jika IPU kurang daripada 100. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menghidap asma atau sedang mengalami batuk selsema dan irritasi kulit, mereka disarankan supaya mengelakkan diri dari keluar dari rumah dan bangunan sehingga IPU mencapai kurang dari 50. Diharap tips diatas dapat membantu kita untuk kekal aktif dan sihat walaupun dalam keadaan berjerebu.
 Indeks Pencemaran Udara (IPU) 
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-

Nilai IPU
Status
0 – 50Baik
51 – 100Sederhana
101 – 200Tidak Sihat
201 – 300Sangat Tidak Sihat
301 – 500Berbahaya
Kita perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah - Iangkah pencegahan.

oleh Nur Azwanie 

No comments:

Post a Comment